Wednesday, April 2, 2008

09 - Bersangka Baik

Bersangka Baik


Dalam urusan amal-ibadah seseorang tidak boleh bersandar kepada sangkaan, andaian atau akal semata-mata untuk menghukum wajib, haram, makruh, sunnah atau harus. Ibadah bukanlah urusan akal untuk mencipta dan menilainya. Hukum-ahkam adalah urusan Allah Subhanahu wa-Ta'ala. Hanya Dia sahaja yang layak menguruskannya.

Apabila seseorang mencipta sesuatu cara ibadah yang baru, maka ia telah menyerupai perbuatan Yahudi dan Nasrani. Telah disiapkan tempat mereka di neraka kerana menambah serta mereka-cipta ibadah mengikut sangka-sangkaan mereka sendiri. Jika sesuatu yang telah mereka cipta tidak dihapuskan oleh setiap pejuang sunnah, akan terus wujud berbagai-bagai lagi perbuatan bid'ah yang akan merosakkan akidah serta syariat Allah Subhanahu wa-Ta'ala. Sangka-sangka baik setelah satu-satu kaum mencipta bid’ah telah diberitakan oleh al-Quran:

وَهُمْ يَحْسَبُوْنَ اَنَّهُمْ يُحْسِنُوْنَ صُنْعًا.

"Dan mereka menyangka bahawa mereka mencipta (ibadah) yang baik (untuk mereka)". AL-KAHFI, 18:104.

Perubahan agama seperti yang telah menimpa ke atas agama-agama sebelum Nabi Muhammad sallahu 'alaihi wa-sallam tidak mustahil akan berlaku ke atas agama Islam jika aktivis bid'ah dibiarkan mencipta berbagai-bagai bid'ah.

Di dalam kitab "ar-Risalah" oleh Imam Syafie, beliau telah menyentuh isu bid'ah (sesuatu yang diada-adakan dalam agama kemudian dianggap baik) dengan memberi peringatan tegas melalui kata-kata beliau yang masyhur:

مَنِ اسْتَحْسَنَ فَقَدَ شَرَّعَ (وَمَنَ شَرَّعَ فَقَدْ كَفَرَ)

"Sesiapa yang beristihsan (menyangka baik satu-satu amalannya yang direka), bererti dia telah membuat satu syariat (dan sesiapa yang membuat syariat, maka ia sudah kafir)".[1]

Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam tidak mengajarkan sesuatu yang tidak jelas atau samar-samar dalam agama Islam, jauh sekali dari terlupa untuk menyampaikan apa yang telah diterima dari Allah Subhanahu wa-Ta'ala. Tidak ada lagi yang tertinggal untuk disampaikan kepada ummahnya walaupun satu huruf. Baginda tidak pernah merasa takut atau gentar untuk menyampaikan dan menyempurnakan dakwah Islamiyah yang berupa wahyu dari Allah Subhanahu wa-Ta'ala.

Allah Subhanahu wa-Ta'ala telah memberi jaminan akan kesempurnaan dakwah dan penyampaian Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam di setiap aspeknya. Segala perkara yang diterima dari Allah Subhanahu wa-Ta'ala tiada yang tertinggal untuk disampaikan kepada ummah walaupun sekecil hama atau zarrah. Firman Allah:

اَلْيَوْمَ اَكْمَلْتُ لَكُمْ دِيْنَكُمْ وَاتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِيْ وَرَضِيْتُ لَكُمُ اْلاِسْلاَمَ دِيْنًا.

"Pada hari ini telah Aku sempurnakan agama kamu buat kamu dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku atas kamu, dan telah Aku redai Islam menjadi agamamu". AL-MAIDAH 5:3.

Hakikatnya, Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam tidak pernah mencontohkan, menyuruh atau mengajar para sahabat baginda cara sebagaimana yang diamalkan sekarang untuk membacakan al-Quran atau menghadiahkan pahala bacaannya kepada orang mati. Apa yang pernah dilakukan dan diajarkan oleh baginda kepada para sahabat ialah cara-cara berdoa untuk orang mati, cara menziarahi kubur, memberi salam serta ucapan yang harus diucapkan semasa mereka masuk ke kawasan perkuburan (menziarahi kubur) sebagaimana hadis sahih di bawah ini:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَلِمُهُمْ اِذَا خَرَجُوا اِلَى الْمَقَابِرِ فَكَانَ قَائِلُهُمْ يَقُولُ : اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُسْلِمِيْنَ فَاِنْ شَآءَ اللهُ بِكُمْ لاَحِقُونَ اَنْتُمْ فَرَطْنَا وَنَحْنُ لَكُمْ تَبعَ وَنَسْألُ اللهَ لَنَا وَلَكُمُ الْعَافِيَةَ.

"Pernah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam mengajar para sahabat semasa mereka ingin berziarah kubur supaya mereka mengucapkan:[2]


اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُسْلِمِيْنَ فَاِنْ شَآءَ اللهُ بِكُمْ لاَحِقُوْنَ أنْتُمْ فَرَطْنَا وَنَحْنُ لَكُمْ تَبَعَ وَنَسْـألُ اللهَ لَنَا وَلَكُمْ الْعَافِيَةُ.


Dalam hadis ini, Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam mengajarkan cara memberi salam dan doa. Baginda tidak pernah pula menyuruh membaca al-Quran semasa menziarahi kubur. Tiada satu pun riwayat yang sahih menjelaskan bahawa baginda pernah membaca al-Quran di atas kuburan atau menghadiahkan pahala bacaan kepada penghuni kubur di Baqi'. Sekiranya amalan membaca al-Quran di kuburan atau di mana sahaja yang bertujuan untuk menghadiahkan pahala bacaannya kepada orang mati itu baik, jika kenduri dan jemputan secara besar-besaran atau kecil-kecilan itu juga boleh dianggap terpuji, tentulah Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam telah melakukannya. Namun semuanya itu tidak pernah terjadi. Nabi Muhammad sangat mencintai keluarga dan para sahabat, tetapi semasa berlaku kematian baginda tidak pernah mengadakan kenduri tahlilan atau yasinan untuk menghadiahkan bacaan al-Quran kepada sahabat yang telah wafat.

Jika sekiranya pahala membaca al-Quran boleh dihadiahkan kepada para arwah di kubur untuk menolong atau menambah pahala orang yang telah mati, tentulah Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam awal-awal lagi telah melakukannya untuk arwah sahabat-sahabat. Perbuatan yang tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa- sallam adalah perbuatan bid'ah.

Cara untuk berdoa atau bersedekah dari harta peninggalan si Mati tidak semestinya melalui kenduri arwah, tahlilan, yasinan atau zikir yang dibaca beramai-ramai melalui majlis-majlis keramaian yang sama sekali tidak ada contohnya dari Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam, para sahabat atau dari golongan Salaf as-Soleh. Mengerjakan sesuatu yang dianggap ibadah jika tiada suruhan atau contohnya dari syara, maka ia adalah bid'ah dhalalah.

"Semoga Allah Subhanahu wa-Ta'ala menjauhkan kita dari bid'ah yang menyesatkan dengan sentiasa memberikan hidayah-Nya".

“Berkata benar sekalipun pahit untuk ditelan”, itulah prinsip dan pegangan penulis. Walaupun banyak tuduhan, tohmahan, fitnah dan kata-kata negatif dilontar kepada penulis dalam mempertahankan kebenaran, namun penulis akan terus menjaga dan memperjuangkan setiap kebenaran.

Wahhabi yang terus menerus difitnah dan dipadankan kepada penulis, bukanlah satu fahaman atau aliran, tetapi ia adalah istilah yang dicipta oleh mubtadi’ untuk dinasabkan kepada sesiapa sahaja yang menentang segala perbuatan bid’ah yang mereka lakukan. Mereka sanggup bergelumang dengan bid’ah yang sesat dari menerima hakikat kebenaran demi menjaga dan memelihara status bergelar ulama, kedudukan dan mempertahankan jawatan.
Buku ini mengupas dan menghurai hakikat isu serta istilah Wahhbi yang sedang sibuk diperkatakan. Walaupun buku ini kecil, insya Allah isinya akan memberi manfaat yang berharga kepada sidang pembaca yang budiman.

-----------------------------------------------------------------------------

[1]. Lihat: حاشية جمع الجوامع Jld. 2. hlm. 295.
[2]. H/R Muslim (1620) al-Janaiz. Nasaii (2013) al-Janaiz. Ibn
Majah (1536) Ma Jaa fil Janaiz. Ahmad (8523) Musnad.