Wednesday, April 2, 2008

06 - Bolehkah Berhujjah Dengan Hadis Palsu?

Bolehkah Berhujjah Dengan Hadis Palsu?



Penggemar kenduri arwah, yasinan, tahlilan dan selamatan berhujjahkan dengan hadis berikut untuk membolehkan amalan mereka:



مَنْ زَارَ قَبْرَوَالِدَيْهِ اَوْ اَحَدِهِمَا يَوْمَ الْجُمْعَةِ فَقَرَاَ يَس، غُفِرَ لَهُ .


“Barangsiapa yang menziarahi kubur orang tuanya atau salah seorang dari keduanya pada hari Jumaat, kemudian membacakan surah Yasin, maka akan diampunkan dosanya".


Hadis ini adalah hadis batil, palsu atau tidak ada asal usulnya. Terdapat di dalam sanadnya seorang yang bernama 'Amar seorang pemalsu hadis dan banyak meriwayatkan hadis-hadis batil. Imam Daraqutni rahimahullah berkata tentang 'Amar: "Amar adalah seorang pemalsu hadis". Lihat: هامش الام للشافعي Juz 7. Hlm. 269.


Apabila dibuka ruang perbincangan secara ilmiyah, terbukti ia ditegah, diharamkan dan hukumnya bid'ah kerana bertentangan dengan syara. Kenyataan ini dapat dibuktikan apabila difahami hujjah dan dalil-dalil syara yang dikemukakan oleh para ulama as-Syafieyah. Buktinya ialah amalan membaca al-Quran beramai-ramai yang dilakukan oleh mereka yang mengadakan tahlilan atau yasinan adalah perbuatan bid’ah dan dilarang oleh Allah di dalam firmanNya:



وَاِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوْا لَهُ وَاَنْصِتُوْا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُوْنَ.

“Dan apabila dibacakan al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat”. AL-A’RAF, 7:204.


Apabila dibaca beramai-ramai tidak dapat dipenuhi tuntutan al-Quran, dan al-Quran bukan untuk orang mati, tetapi untuk yang masih hidup. Orang mati tidak mendengar dan tidak boleh melaksanakan perintah al-Quran. Allah berfirman:


اِنَّكَ لاَ تُسْمِعُ الْمَوْتَى



“Sesungguhnya kamu tidak dapat menjadikan orang-orang mati itu mendengar”. AN-NAML, 27:80.



وَمَا يَسْتَوِى اْلاَحْيَآءُ وَلاَ اْلاَمْوَاتُ ، اِنَّ اللهَ يُسْمِعُ مَنْ يَّشَآءُ ، وَمَا اَنْتَ بِمُسْمِعٍ مَّنْ فِى الْقُبُوْرِ.


“Dan tidak sama orang-orang yang hidup dan orang-orang yang mati, sesungguhnya Allah memberikan pendengaran kepada siapa yang dikehendakiNya dan kamu sekali-kali tiada sanggup menjadikan orang yang dalam kubur dapat mendengar”.

Setelah seseorang itu mati, semuanya telah selesai kecuali tiga:



اِذَا مَاتَ اْلاِنْسَان اِنْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ اِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ : صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ اَوْعِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أوْوَلَدٍ صَالحٍ يَدْعُوْلَهُ


"Apabila mati anak Adam, putuslah semua amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya."6


Hadis ini menunjukkan doa seseorang muslimin untuk orang mati dibolehkan, terutamanya anak yang soleh. Anak yang soleh sebagai penyambung amal orang tuanya. "Hanya anak-anaknya sahaja, bukan orang lain" sebagaimana yang dapat difahami dari dalil-dalil berikut:



عَنِ ابْنِ عَبَّاسِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ : جَاءَ رَجُلٌ اِلَى النَّبِيِّ صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : يَا رَسُوْلَ اللهِ اِنَّ اُمِّيْ مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ اَفَاَقْضِيْهِ عَنْهَا ؟ فَقَالَ : لَوْ كَانَ عَلَى اُمِّكَ دَيْنٌ اَكُنْتَ قَاضِيْهِ عَنْهَا ؟ قَالَ : نَعَمْ . قَالَ : فَدَيْنُ اللهِ اَحَقُّ اَنْ يُقْضَى.


“Dari Ibn Abbas radiallahu ‘anhu berkata: Seorang lelaki datang kepada nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bertanya: Ya Rasulullah, ibuku telah meninggal sedangkan dia masih berhutang puasa sebulan belum dibayar, apakah boleh aku membayarnya untuk ibuku? Baginda menjawab: Andaikata ibumu menanggung hutang apakah engkau yang membayarnya? Beliau menjawab: Ya! Maka baginda bersabda: Hutang kepada Allah lebih patut dibayarnya”. H/R Bukhari, Muslim, Abu Daud, Turmizi dan an- Nasaii.



عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا : اَنَّ رَجُلاً اَتَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : يَا رَسُوْلَ اللهِ اِنَّ اُمِّيْ اقْتُلِتَتْ نَفْسَهَا وَلَمْ تُوْصِ وَاَظُنُّهَا لَوْتَكَلَّمَتْ تَصَدَّقَتْ اَفَلَهَا اَجْرٌ اِنْ تَصَدَّقْتُ عَنْهَا ؟ قَالَ : نَعَمْ .


“Dari ‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata: Bahawasanya seorang lelaki datang kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan berkata: Wahai Rasulullah, ibuku telah mati mendadak, sehingga dia tidak berkesempatan untuk berwasiat! Saya rasa andaikan ia mendapat kesempatan berkata tentu dia berwasiat (supaya bersedekah). Adakah ia mendapat pahala jika aku bersedekah untuknya? Baginda sallallahu ‘alaihi wa-sallam menjawab: Ya!” H/R Bukhari dan an-Nasaii.



عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا . اَنَّ رَجُلاً اَتَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : اَنَّ اَبِىْ مَاتَ وَعَلَيْهِ حَجَّةُ اْلاِسْلاَمِ اَفَاَحُجَّ عَنْهُ ؟ فَقَالَ : اَرَاَيْتَ لوْ اَنَّ اَبَاكَ تَرَكَ دَيْنًا عَلَيْهِ اَتَقْضِيْهِ عَنْهُ ؟ قَالَ : نَعَمْ . قَالَ : فَاحْجُجْ عَنْ اَبِيْكَ .


"Dari Ibnu Abbas radiallahu 'anhu berkata: Seorang lelaki datang kepada Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam lalu bertanya: Ayahku telah meninggal dan belum mengerjakan haji, apakah boleh aku menghajikannya? Baginda menjawab: Bagaimana jika ayahmu meninggalkan hutang, apakah Baginda bersabda: Maka hajikanlah untuk ayahmu". H/R Bukhari, Turmizi dan An-Nasaii.



عَنِ ابْنِ عَبّ
َاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ : تُوُفِّيَتْ اُمُّ سَعْدِ بْنِ عُبَادَةَ وَهُوَ غَائِبٌ عَنْهَا . فَقَالَ : يَا رَسُوْلَ اللهِ اِنَّ اُمِّيْ تُوُفِيَّتْ وَاَنَا غَائِبٌ عَنْهَا اَيَنْفَعُهَا شَيْءٌ اِنْ تَصَدَّقْتُ بِهِ عَنْهَا ؟ قَالَ : نَعَمْ قَالَ فَاِنِّيْ اُشْهِدُكَ اَنَّ حَائِطِى الْمِخْرَافَ صَدَقَةٌ عَنْهَا


"Dari Ibn Abbas radiallahu 'anhu berkata: Ibu Sa'ad bin 'Ubadah ketika meninggal sedang Sa'ad tidak ada. Lalu Sa'ad berkata: Wahai Rasulullah, ibuku telah meninggal diwaktu aku tidak ada di rumah! Apakah kiranya akan berguna baginya jika aku bersedekah? Baginda menjawab: Ya! Berkata Sa'ad: Saya persaksikan kepadamu bahawa kebun kurma yang berbuah itu sebagai sedekah untuknya". H/R Bukhari, Muslim, Abu Daud, Turmizi dan An-Nasaii.



عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ: جَاءَ تْ اِمْرَاَةٌ مِنْ خَشْعَمَ فَقَالَتْ : يَا رَسُـوْلَ اللهِ ، اَنَّ فَرِيْضَةَ اللهِ عَلَى عِبَادِهِ فِى الْحَجِّ اَدْرَكَتْ اَبِيْ شَيْخًا كَبِيْرًا لاَ يَثْبُتُ عَلَى الرَّاحِلَةِ . اَفَاَحُجُّ عَنْهُ ؟ قَالَ : نَعَمْ . وَذَلِكَ فِى حَجَّةِ الْوَدَاعِ.


"Dari Ibn Abbas radiallahu 'anhu berkata: Seorang wanita dari suku Khasy'am datang kepada Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam lalu bertanya: Ya Rasulullah, kewajipan Allah atas hambaNya berhaji telah menimpakan ayahku yang sangat tua sehingga tidak dapat berkenderaan! Apakah boleh aku menghajikannya? Baginda menjawab: Ya boleh! Dan pertanyaan ini terjadi ketika haji al-Wada'. Lihat: Tafsir Ibn Kathir jld. 4 hlm. 335.


عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ اَنَّ رَجُلاً قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اِنَّ اَبِيْ مَاتَ وَتَرَكَ مَالاً وَلَمْ يُوْصِ فَهَلْ يَكْفِى عَنْهُ اَنْ اَتَصَدَّقَ عَنْهُ؟ قَالَ : نَعَمْ.


“Dari Abi Hurairah berkata: Ada seorang lelaki datang kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan berkata: Ayahku telah meninggal dan dia meninggalkan harta dan tidak berwasiat, maka apakah berguna baginya jika aku bersedekah untuk dia? Jawab baginda: Ya!" Fathul Qadir jld. 5 hlm. 111.


Orang yang dapat mengambil panduan Al-Quran hanyalah orang-orang hidup. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:



اِنْ هُوَ اِلاَّ ذِكْرٌ وَقُرْآنٌ مُبِيْنٌ . لِيُنْذِرَ مَنْ كَانَ حَيًّا وَيَحِقَّ الْقَوْلُ عَلَى الْكَافِريْنَ.


"Al-Quran itu tidak lain hanyalah pelajaran dan kitab yang memberi penerangan supaya dia memberi peringatan kepada orang-orang yang hidup". YASIN, 36:69-70.


Anehnya surah yasin djadikan bacaan untuk si Mati. Sedangkan semua nas-nas dan penafsiran di atas membuktikan membacakan al-Quran untuk menghadiahkan pahalanya kepada mayat adalah perbuatan bid'ah (yang diada-adakan).


Orang-orang yang dituduh sebagai Wahhabi amat takut dengan semua bentuk ibadah (ciptaan baru) yang tidak ada suruhan dari syara kerana tidak mahu melakukan pekerjaan yang sia-sia dan dianggap bid’ah. Ingatlah, Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam telah berpesan!



مَنْ صَنَعَ اَمْرًا عَلَى غَيْرِ اَمْرنَا فَهُوَ رَدٌّ


“Sesiapa yang melakukan sesuatu perbuatan yang bukan dari suruhan kami maka ia tertolak (sia-sia dan bid’ah)”. H/R Ibn Majah.