Monday, March 31, 2008

03 - Bagaimana Cara Uthman El-Muhammady Menilai Fatwa Imam Syafie & Para Ulama As -Syafieyah


Bagaimana Cara Uthman El-Muhammady Menilai Fatwa Imam Syafie & Para Ulama As-Syafieyah?

Tahukah Uthman El-Muhammady, penulis insya Allah akan terus menegaskan bahawa menurut fatwa Imam Syafie adalah haram mengadakan majlis kenduri arwah, lebih-lebih lagi apabila di tambah dengan menikmati hidangan di rumah si Mati, terutama jika si Mati datangnya dari keluarga yang miskin menanggung beban hutang, meninggalkan anak-anak yatim yang masih kecil dan waris si Mati mempunyai tanggungan yang besar dan ramai. Tentunya tidak dipertikaikan makan harta anak-anak yatim hukumnya haram dan berdosa besar. Inilah yang ditakuti oleh golongan yang dituduh sebagai Wahhabi. Ketakutan mereka ternyata ada alasan sebagaimana alasan Imam as-Syafie yang menyerukan agar meninggalkan bid’ahnya kenduri arwah dan membaca al-Quran untuk orang mati.
Lihatlah wahai Yang Mulia Uthman El-Muhammady fatwa Imam Syafie dan para ulama as-Syafie di dalam (اعانة الطالبين) jld. 2. hlm. 146:

وَقَالَ اَيْضًأ : وَيكرهُ الضيَافَة مِنَ الطَّعَامِ مِنْ اَهْلِ الْمَيِّتِ لاَنَّهُ شرعَ فِى السرُوْرِ وَهِيَ بِدْعَةٌ

“Imam Syafie berkata lagi: Dibenci bertetamu dengan persiapan makanan yang disediakan oleh ahli si Mati kerana ia adalah sesuatu yang keji dan ia adalah bid’ah”.

Imam Syafie berfatwa lagi dan lihat di dalam kitab (اعانة الطالبين) juz. 2. hlm. 146 – 147, iaitu:


وِمِنَ الْبِدَعِ الْمُنْكَرَةِ الْمَكْرُوْهِ فعْلهُ مَا يَفْعَلُ النَّاس مِنَ الْوَحشَةِ وَالْجمْعِ وَاْلاَرْبِعِيْنَ بَلْ كَلُّ ذَلِكَ حَرَامٌ

“Dan antara bid’ah yang mungkar ialah kebiasaan orang yang melahirkan rasa kesedihannya sambil berkumpul beramai-ramai melalui upacara (kenduri arwah) dihari keempat puluh (empat puluh harinya) pada hal semuanya ini adalah haram”.

Ini bermakna bertetamu dengan persiapan makanan, berkumpul beramai-ramai yang diistilahkan kenduri arwah, tahlilan atau yasinan dihari pertama kematian, dihari ketiga, dihari ketujuh, dihari keempat puluh, dihari keseratus, setelah setahun kematian dan dihari-hari seterusnya, semuanya itu perbuatan bid’ah menurut fatwa Imam Syafie.

Oleh itu, mereka yang mendakwa bermazhab Syafie sewajarnya menghentikan perbuatan yang dibid’ahkan oleh Imam Syafie dan para ulama besar as-Syafieyah. Apakah fatwa-fatwa di atas datangnya dari kitab Wahhabi atau kitab Syafie atau para ulama besar yang bermazhab as-Syafie? Lihatlah fatwa-fatwa Imam Syafie dan para ulama as-Syafie yang seterusnya dimuatkan di dalam tulisan ini. Penulis sebenarnya amat sayang kepada Uthman El-Muhammady. Hazihi nasihati!

02 - Uthman El-Muhammady Melawan Imam As-Syafie

Uthman El-Muhammady Melawan Imam As-Syafie

Antara adat orang Melayu Islam, mereka menyediakan makanan untuk tetamu yang berkunjung dihari kematian, sama ada diundang atau hanya mengikut kebiasaan dan adat yang dimestikan ada kenduri dan dimestikan hadir ke rumah ahli si Mayat setalah mayat dikebumikan. Amalan serupa ini telah diharamkan oleh Imam as-Syafie dan para ulama ternama as-Syafieyah, tetapi dipertahankan oleh orang-orang seperti Uthman El-Muhammady sebagaimana kenyataan beliau di akhbar Mingguan tersebut.

Wahai Tuan Yang Berbahagia Uthman El-Muhammady yang bijaksana, rujuklah ke dalam kitab I’anatul at-Talibin juz 2. hlm 146, tuan akan temui qaul (fatwa) Imam as-Syafie yang menentang adat tradisi bid’ah yang tuan dan golongan tuan pertahankan, kerana Imam as-Syafie berfatwa:

وَيكْرهُ اتِّخَاذ الطَّعَام فِى الْيَوْمِ اْلاَوَّلِ وَالثَّالِث وَبَعْدَ اْلاُسْبُوْعِ وَنَقل الطَّعَام اِلَى الْقُبُوْرِ

“Dan dilarang menyediakan makanan pada hari pertama kematian, hari ketiga dan seterusnya sesudah seminggu. Dilarang juga membawa makanan ke kubur”.

Ketahuilah! Imam Syafie rahimahullah dan jumhur ulama besar as-Syafieyah (ائمة العلماء الشافعية) atau Ahli Sunnah wal-Jamaah yang mengikut Imam as-Syafie (istilah Uthman El-Muhammady), mereka semua dengan berlandaskan hadis-hadis sahih telah sepakat memfatwakan bahawa: Yang sewajarnya menyediakan makanan untuk keluarga si Mati adalah jiran, kerabat si Mati atau orang yang datang menziarahi mayat, bukan keluarga (ahli si Mati) sebagaimana fatwa Imam Syafie:

وَاُحِبُّ لِجِيْرَانِ الْمَيِّتِ اَوْذِيْ قَرَابَتِهِ اَنْ يَعْمَلُوْا لاَهْلِ الْمَيِّتِ فِىْ يَوْمِ يَمُوْتُ وَلَيْلَتِهِ طَعَامًا مَا يُشْبِعُهُمْ وَاِنَّ ذَلِكَ سُنَّةٌ.

“Aku suka kalau jiran si Mati atau saudara mara si Mati menyediakan makanan untuk keluarga si Mati pada hari kematian dan malamnya sehingga mengenyangkan mereka. Sesungguhnya itulah amalan yang sunnah”.

Fatwa Imam Syafie di atas ini adalah berdasarkan hadis sahih:

قَالَ عَبْدُ اللهِ بْنِ جَعْفَرَ : لَمَّا جَاءَ نَعْيُ جَعْفَرِ حِيْنَ قُتِلَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اِصْنَعُوْا لآلِ جَعْفَرِ طَعَامًا فَقَدْ اَتَاهُمْ مَايُشْغِلُهُمْ. (حسنه الترمزى وصححه الحاكم)

“Abdullah bin Ja’far berkata: Ketika tersebar tentang berita terbunuhnya Ja’far, Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Hendaklah kamu menyediakan makanan untuk keluarga Ja’far, mereka telah ditimpa keadaan yang menyebukkan (kesusahan)”. Dihasankan oleh at-Turmizi dan di sahihkan oleh al-Hakim.

Uthman El-Muhammady semestinya menerima kenyataan bahawa masyarakat Islam di Nusantara melakukan sebaliknya. Mereka menolak fatwa-fatwa Imam Syafie yang mengharamkan yasinan, tahlilan, makan kenduri di rumah si Mati dan membaca al-Quran untuk orang yang telah meninggal dunia.

Masyarakat diberi keyakinan yang keliru oleh orang-orang seperti Uthman El-Muhammady dan konco-konconya yang dianggap sebagai ulama as-Syafieyah oleh masyarakat Islam. Akibatnya masyarakat di Malaysia (kecuali di Perlis) apabila ada kematian terpaksa menghadapi dua jenis kesusahan, iaitu kesusahan kerana kematian dan seterusnya kesusahan untuk menyiapkan juadah penyumbat mulut, pengisi perut dan salam kaut untuk si Penghidup bid’ah. Keluargi si Mati terpaksa juga menyediakan dua jenis upah, upah untuk si Mati dan upah untuk si Ahli Bid’ah. Itulah yang dinamakan kenduri arwah yang menyebabkan orang-orang yang mempertahankannya seperti tidak mempunyai maruah.

Malangnya orang-orang yang menyeru agar meninggalkan amalan yang dibid’ahkan oleh Imam as-Syafie ini dianggap sebagai pemecah-belah, anti sunnah, keterlaluan dan pendakwah Wahhabi.

Persoalannya, apakah kenyataan Uthman El-Muhammady bahawa Wahhabi menentang sunnah as-Syafieyah itu benar? Sebaliknya yang benar ternyata terbalik, Uthman El-Muhammadylah yang sebenarnya memerangi sunnah as-Syafieyah, sebaliknya yang diistilahkan sebagai orang-orang Wahhabilah yang bersangatan mempertahankan sunnah dan mazhab as-Syafieyah.

01 - Uthman El-Muhammady Menghina Imam As-Syafie & Para Ulama Besar Syafieyah, Bukan Fahaman Wahhabi

Uthman El-Muhammady Menghina Imam As-Syafie & Para Ulama Besar Syafieyah, Bukan Fahaman Wahhabi

Uthman El-Muhammady keterlaluan sangat mempertahankan dan membela yasinan, tahlilan dan termasuk membaca al-Quran untuk orang yang meninggal dunia (kenduri arwah mengirim pahala untuk si Mati). Amalan tersebut diistilahkan oleh beliau sebagai “Amalan Ahli Sunnah Wal-Jamaah mengikut Imam al-Syafie” kerana dinasabkan kepada mazhab Syafie. Kenyataan ini tidak dapat dinafikan setelah terpampang di muka depan akhbar Mingguan keluaran Ahad 27 November 2005.

Kenyataan Uthman El-Muhammady, sebenarnya bukan memerangi Wahhabi kerana besar kemugkinan beliau belum tahu apa itu Wahhabiyah dan siapa Wahhabi, tetapi sebenarnya sama ada disedari atau tidak dengan kenyataan tersebut beliau telah menghina dan menolak fatwa-fatwa Imam Syafie rahimahullah. Mungkin juga beliau tidak menyedari fatwa Imam Syafie berkenaan isu ini. Malangnya, oleh kerana beliau tidak teliti dalam kenyataannya, tidak secara langsung dia juga telah menipu umat Islam.

Jika Uthman El-Muhammady mahu menyelidiki kitab-kitab besar para ulama ulung as-Syafieyah, pasti dia akan temui terlalu banyak fatwa-fatwa Imam as-Syafie dan para ulama besar Syafeiyah mengharamkan dan membid’ahkan amalan yang dikenali oleh masyarakat sebagai tahlilan, yasinan dan mengirim pahala bacaan al-Quran kepada si Mati yang diistilahkan sebagai kenduri arwah, yasinan dan tahlilan pada hari kematian, dihari kedua, ketiga, ketujuh, keempat puluh, keseratus, kesetahun dan yang lebih dari itu.

Ramai yang mengatakan bahawa isu ini adalah persoalan basi yang telah selesai. Ini tidak benar kerana masih ramai yang meneruskan amalan tradisi yang bid’ah ini, sama ada dihari kematian, malam Jumaat atau sebagainya. Yang sebenarnya isu ini bukan isu basi, kerana persoalan agama tidak boleh basi sehinggalah kehari kiamat, agama juga tidak boleh diqias dengan makanan yang dimakan di majlis kenduri apabila tak habis dimakan jadi basi, tetapi isu ini sentiasa hangat sebagaimana hangatnya hidangan di majlis kenduri arwah tersebut. Selagi ramai para aktivis bid’ah bermati-matian mempertahankannya, maka selagi itulah isu ini tidak akan basi. Malah ia akan jadi isu yang lebih sensasi.