Wednesday, April 2, 2008

05 - Hanya adat tradisi

Hanya adat tradisi



Kenduri arwah bukanlah amalan sunnah. Tiada nas menunjukkan ia pernah dicontohkan oleh Rasulullah atau para Salaf as-Soleh. Amalan ini diharamkan oleh Nabi bukan Wahhabi. Sebenarnya kenduri arwah lebih mirip dengan suluk agama Hindu atau Majusi iaitu dengan upacara berkumpul beramai-ramai untuk memperingati si Mati. Hanya perbezaannya ia dihias dengan pembacaan al-Quran seperti surat Yasin, fatihah atau surah-surah yang lain, seterusnya berzikir dan berdoa, kemudian menghadiahkan pahalanya kepada si Mati dan tidak ketinggalan juga menyediakan jamuan di rumah si Mati. Mungkin persoalan ini dianggap isu remeh atau ranting oleh sebahagian masyarakat terutama si mubtadi' (مبتدع) "pembuat/aktivis bid'ah".


Mungkin mereka tidak tahu bahawa Imam Syafie serta para ulama besar bermazhab as-Syafieyah membid’ahkan amalan yang dianggap bid’ah hasanah oleh mereka tetapi dianggap amalan jahiliyah oleh sebahagian ulama muktabar. Tetapi orang-orang yang dianggap Wahhabi tidaklah sampai menuduh seburuk itu kerana perkataan “Jahiliyah” mewakili semua sifat-sifat hodoh, bodoh dan perangai si Jahil Murakkab.


Semua fatwa Imam Syafie dan para ulama as-Syafieyah yang berkaitan dengan persoalan ini wajib diketahui oleh setiap mukmin kerana ia jelas menyentuh masalah akidah dan ibadah, ia tidak boleh dilakukan secara suka-suka tanpa ada hujjah. Beribadah atau apa sahaja yang dianggap ibadah tidak boleh hanya berpandukan kepada sangka baik lantaran ramainya masyarakat menerima dan melakukannya. Allah Subhanahu wa-Ta'ala telah memberi amaran kepada mereka yang suka bertaqlid buta kepada perbuatan orang ramai yang tidak ada dalil atau tidak ada suruhannya dari syara sebagaimana firmanNya:



وَاِنْ تُطِعْ اَكْثَرَ مَنْ فِى اْلاَرْضِ يُضِلُّوْكَ عَنْ سَبِيْلِ اللهِ اِنْ يَّتَّبِعُوْنَ اِلاَّ الظَّنَّ وَاِنْ هُمْ اِلاَّ يَخْرُصُوْنَ


“Dan jika kamu menuruti kebanyakan (majoriti) orang-orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan diri kamu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanya mengikuti persangkaan belaka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah)”. AL-AN’AM 6:116.

Dinamakan ibadah hanya apabila mengikut syariat dari al-Quran dan as-Sunnah. Firman Allah:


ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيْعَةٍ مِنَ اْلاَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلاَ تَتَّبِعْ اَهْوَاءَ الَّذِيْنَ لاَ يَعْلَمُوْنَ . اَنَّهُمْ لَنْ يُّغْنُوْا عَنْكَ مِنَ اللهِ شَيْئًا.


"Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan yang wajib ditaati) dalam urusan (agamamu) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (orang jahil). Sesungguhnya mereka sekali-kali tidak akan dapat menolak diri kamu sedikitpun dari seksaan Allah". AL-JASIYAH 45:18-19.