Wednesday, April 2, 2008

07 - Wasiat Ibnu Umar Radhiallahu 'Anhuma

Wasiat Ibnu Umar Radhiallahu 'Anhuma

Ibnu 'Umar radiallahu 'anhuma berwasiat iaitu apabila beliau wafat hendaklah dibacakan di atas kuburnya surah al-Fatihah dan beberapa ayat terakhir dari surah al-Baqarah. Athar inilah yang dijadikan hujjah untuk menghalalkan kenduri arwah. Athar ini adalah batil kerana bertentangan dengan amalan para sahabat. Athar ini syaaz, tidak dapat diterima untuk dijadikan hujjah. Athar ini tidak pernah diterima walaupun oleh seorang sahabat sebagaimana keterangan di bawah ini:

وَاَمَّا مَا يَرْوِيْ عَنِ بْنِ عُمَرَ اَنَّهُ اُوْصِيَ بِقِرَاءَ ةِ الْفَاتِحَةِ وَخَوَاتِمَ الْبَقَرَةِ عَلَى قَبْرِهِ فَهُوَ اَثَرٌ شَاذٌ لَمْ يَصِحْ سَنَدُهُ وَلَمْ يُوَافِقهُ عَلَيْهِ اَحَدٌ مِنَ الصَّحَابَةِ.

"Dan apa yang telah diriwayatkan dari Ibnu 'Umar bahawasanya beliau mewasiatkan agar dibacakan al-Fatihah dan ayat-ayat terakhir dari surah al-Baqarah di atas kuburnya, maka itu adalah athar yang syaaz (tidak sahih) dan tidak sahih pula sanadnya. Dan tidak pernah dipersetujui (diterima) walaupun oleh seorang sahabat." Lihat: Syarah al-Muhazzab, jld 10 hlm. 429 As-Subki.

Adapun hadis yang menyuruh agar dibacakan ayat al-Quran kepada orang yang nazak atau orang mati terutamanya surah Yasin adalah hadis lemah. Di dalam sanadnya terdapat seorang yang bernama Saad yang dikenali sebagai Abu Uthman. Dia tidak diketahui keadaannya (مجهول الحال). Hadis yang dimaksudkan ialah:

اِقْرَؤُوْهَا عَلَى مَوْتَاكُمْ.

"Bacakanlah oleh kamu (surah Yasin) ke atas orang yang hampir mati dari kalangan kamu". H/R Abu Daud (2714) al-Janaiz. Ibn Majah (1438). Hadis lemah.

Menurut hadis yang sahih ialah mengajarkan kalimah tauhid sebagaimana yang dijelaskan oleh hadis di bawah ini:

لَقِّنُوْا عَلَى مَوْتَاكُمْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ

"Ajarkanlah oleh kamu orang-orang yang nazak di kalangan kamu dengan kalimah: La ilaha illallah". H/R Muslim (1527), al-Janaiz Turmizi (18980). Al-Janaiz Abu Daud (2710), al-Janaiz Nasaii (1803). Al-Janaiz Ibn Majah (1430). Ahmad (10570P).

Membacakan al-Quran kepada orang mati perbuatan yang diharamkan oleh Imam Syafie dan sama sekali tidak ada nas yang mengizinkan perbuatan tersebut, ia bertentangan dengan al-Quran:

اِنَّكَ لاَ تُسْمِعُ الْمَوْتَى.

"Sesungguhnya engkau tidak boleh menjadikan orang-orang yang telah mati itu mendengar". AN-NAML, 27:80.

Semua hadis yang membolehkan menghadiahkan pahala kepada orang mati adalah lemah atau palsu. Antaranya ialah hadis:

مَنْ قَرَاَ قُلْ هُوَ اللهُ اَحَدٌ اَلْفَ مَرَّةٍ فَقَدْ اشْتَرَى نَفْسَهُ مِنَ النَّاسِ (حديث موضوع)
"Barangsiapa membaca Qulhu wallahu Ahad sebanyak seribu kali maka sesungguhnya ia telah membebaskan dirinya dari api neraka". (Hadis Palsu).