Wednesday, April 2, 2008

08 - Hukum Mendoakan Orang Mati

Hukum Mendoakan Orang Mati


Mendoakan si Mati adalah sunnah hukumnya bersandarkan firman Allah:

وَالَّذِينَ جاءُ وْا مِنْ بَعْدِ هِمْ يَقُولونَ رَبَّنَا اغْفِرْلَنَا وَلاِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَ بِالاِيْمَانِ.

"Dan orang-orang yang datang sesudah mereka itu akan berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman sebelum kami". AL- HASYR 59:10.

رَبَّنَا اغْفِرْلِيْ وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِيْنَ يَوْمَ يَقُوْمُ الْحِسَابِ.
"Ya Tuhan kami! Berilah keampunan kepadaku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab." IBRAHIM, 14:41.

وَاسْتَغْفِرْ لِذَنْبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِيْنَ.

“Dan minta ampunlah bagi dosa-dosamu dan bagi orang-orang yang beriman". MUHAMMAD, 47:19.

Menetapkan hari-hari tertentu, bulan-bulan tertentu atau kerana sesuatu sempena yang khusus dengan mengadakan majlis yasinan atau tahlilan adalah bid'ah.

Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam telah memperingatkan tentang perbuatan yang bid’ah:

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ
"Sesiapa yang melakukan sesuatu amal yang bukan dari perintah kami (Allah Subhanahu wa-Ta'ala dan Rasul-Nya) maka amalan itu tertolak". H/R Muslim.

مَنْ اَحْدَثَ فِىْ اَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌَّ. رواه البخارى ومسلم.
"Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu dalam urusan (agama) kami ini sedangkan ia bukan (dari kami) maka ia tertolak". H/R Bukhari dan Muslim.

مَنْ صَنَعَ اَمْرًا عَلَى غَيْرِ اَمْرِنَا فَهُوِ رَدٌّ
Barangsiapa yang mencipta suatu urusan (agama) yang bukan atas suruhan kami, maka ia tertolak (bid’ah)".

Sesiapa yang mendakwa bid'ah hasanah atau sunnah mengadakan majlis-majlis tertentu seperti mengkhususkan berdoa atau pembacaan al-Quran untuk menghadiahkan pahalanya kepada orang mati sedangkan tidak ada contoh dari syara, maka itu adalah suatu pembohongan terhadap Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam dan adalah merupakan perbuatan bid'ah yang sesat, bukan bid'ah hasanah. Orang yang membohongi Nabi pada perkara-perkara akidah dan ibadah, mereka akan menerima azab yang pedih. Baginda bersabda:


مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأ مَقْعَدُهُ مِنَ النَّارِ.

"Sesiapa yang berbuat dusta (pembohongan) atas (nama)ku, maka hendaklah dia bersiap untuk menerima tempat duduknya dari api neraka". Hadis Mutawatir.

Tidak ada penetapan masa, hari, tempat dan cara beribadah kecuali yang telah ditetapkan oleh al-Quran dan dicontohkan oleh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam. Apa pun jenis amal sama ada berdoa atau membaca al-Quran apabila diubah-suai dan diadakan beberapa peraturan, maka ia termasuk bid'ah lebih-lebih lagi apabila dikhususkan untuk orang mati.

Mengkhususkan majlis kenduri arwah, tahlilan, yasinan atau selamatan masih dilakukan oleh masyarakat Islam, yang mana semua perbuatan tersebut tidak ada dalilnya dari al-Quran dan al-Hadis. Nabi telah melarang pengkhususan ibadah dimalam-malam tertentu atau berpuasa dihari-hari tertentu:

عَنْ أبِى هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لاَتَخُصُّوا لَيْلَةَ الْجُمْعَةِ بِقِيَامِ مِنْ بَيْنِ اللَّيَالِى، وَلاَ تَخُصُّوا يَوْمَ الْجُمْعَةِ بِصِيَامٍ مِنْ بَيْنِ اْلأيَّامِ اِلاَّ أنْ يَكُونَ فِى صَوْمٍ يَوْمُهُ أحَدكُمْ.

"Dari Abi Hurairah, dari Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam: Janganlah kamu khususkan malam Jumaat untuk melakukan ibadah antara malam-malam yang lain dan janganlah kamu menentukan Hari Jumaat sahaja untuk berpuasa antara hari-hari yang lain, kecuali memang singgah puasa (tidak secara langsung) yang dikerjakan oleh seseorang kamu." H/R Muslim (1930) as-Siyam.

Menetapkan malam-malam tertentu sebagai malam sunnah untuk beribadah jika tidak ada contohnya dari syara tetapi hanya bertaklid tanpa hujjah, maka itu adalah bid'ah yang wajib dijauhi. Allah Subhanahu wa-Ta'ala berfirman:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فَى رَسُوْلِ اللهِ اُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُوْا اللهَ وَاليَوْمِ اْلاَخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيْرًا.

"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu tauladan (contoh ibadah) yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat serta dia banyak mengingati Allah". AL-AHZAB 33:21.

Ayat ini telah menjelaskan bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam diutus semata-mata untuk dijadikan contoh dalam mengamalkan setiap ibadah jika mahu ianya diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Sesiapa yang ingkar mematuhi dan mencontohi Nabi Muhammad salallahu 'alaihi wa-sallam termasuklah bentuk bagaimananya (كـَيْـفِـيـَّةٌ) dan cara-caranya, maka dia telah melakukan bid'ah dan menolak peranan Nabi Muhammad sebagai Rasul utusan. Baginda bersabda:

عَنْ اَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : كُلُّ اُمَّتِيْ يَدْخُلُوْنَ الْجَنّةَ اِلاَّ مَنْ اَبَى . قَالُوْا : يَارَسُوْلَ اللهِ وَمَنْ يَاْبَى؟ قَالَ مَنْ اَطَاعَنِيْ دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِيْ فَقَدْ اَبَى.

"Dari Abu Hurairah radiallahu 'anhu dari Nabi salallahu 'alaihi wa-sallam bersabda: Setiap umatku akan masuk syurga kecuali orang yang enggan. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah orang yang enggan itu!? Rasulullah menjawab: Sesiapa yang taat kepadaku maka dia masuk syurga dan sesiapa yang durhaka kepadaku maka sesungguhnya dia telah enggan".

Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa- sallam telah menunjuk ajar dengan sempurna cara melaksana ibadah dan menentukan sah batalnya hukum-ahkam dalam syara yang wajib dipatuhi oleh setiap mukmin.

Sesiapa yang menyalahi cara dan bagaimananya (kaifiat) Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam serta para sahabat melaksanakan ibadah, maka dia telah membuat bid'ah dan fitnah. Allah Subhanahu wa-Ta'ala memberi peringatan dengan firman-Nya:

فَلْيَحْذَرِ الَّذِيْنَ يُخَالِفُوْنَ عَنْ اَمْرِهِ اَنْ تُصِيْبَهُمْ فِتْنَةٌ اَوْيُصِيْبَهُمْ عَذَابٌ اَلِيْمٌ. .

“Maka hendaklah diawasi oleh mereka yang menyalahi perintahnya (perintah Allah dan Rasul) bahawa mereka akan ditimpa fitnah atau ditimpa oleh seksa yang pedih". An-Nur, 24:63.

تَرَكْتُكُمْ عَلَى الْبَيْضَاء لَيْلُهَا كَنَهَارِهَا لاَيَزِيْغُ عَنْهَا بَعْدِيْ اِلاَّ هَالِكٌ.

"Aku telah tinggalkan pada kamu agama ini dalam keadaan putih bersih (jelas). Malamnya seperti siangnya, tidak ada yang menyimpang daripadanya setelah (kewafatanku kecuali akan ditimpakan kepadanya) kehancuran".[1]


[1]. H/R diriwayatkan oleh Ahmad dengan sanadnya yang sahih.