Monday, March 31, 2008

02 - Uthman El-Muhammady Melawan Imam As-Syafie

Uthman El-Muhammady Melawan Imam As-Syafie

Antara adat orang Melayu Islam, mereka menyediakan makanan untuk tetamu yang berkunjung dihari kematian, sama ada diundang atau hanya mengikut kebiasaan dan adat yang dimestikan ada kenduri dan dimestikan hadir ke rumah ahli si Mayat setalah mayat dikebumikan. Amalan serupa ini telah diharamkan oleh Imam as-Syafie dan para ulama ternama as-Syafieyah, tetapi dipertahankan oleh orang-orang seperti Uthman El-Muhammady sebagaimana kenyataan beliau di akhbar Mingguan tersebut.

Wahai Tuan Yang Berbahagia Uthman El-Muhammady yang bijaksana, rujuklah ke dalam kitab I’anatul at-Talibin juz 2. hlm 146, tuan akan temui qaul (fatwa) Imam as-Syafie yang menentang adat tradisi bid’ah yang tuan dan golongan tuan pertahankan, kerana Imam as-Syafie berfatwa:

وَيكْرهُ اتِّخَاذ الطَّعَام فِى الْيَوْمِ اْلاَوَّلِ وَالثَّالِث وَبَعْدَ اْلاُسْبُوْعِ وَنَقل الطَّعَام اِلَى الْقُبُوْرِ

“Dan dilarang menyediakan makanan pada hari pertama kematian, hari ketiga dan seterusnya sesudah seminggu. Dilarang juga membawa makanan ke kubur”.

Ketahuilah! Imam Syafie rahimahullah dan jumhur ulama besar as-Syafieyah (ائمة العلماء الشافعية) atau Ahli Sunnah wal-Jamaah yang mengikut Imam as-Syafie (istilah Uthman El-Muhammady), mereka semua dengan berlandaskan hadis-hadis sahih telah sepakat memfatwakan bahawa: Yang sewajarnya menyediakan makanan untuk keluarga si Mati adalah jiran, kerabat si Mati atau orang yang datang menziarahi mayat, bukan keluarga (ahli si Mati) sebagaimana fatwa Imam Syafie:

وَاُحِبُّ لِجِيْرَانِ الْمَيِّتِ اَوْذِيْ قَرَابَتِهِ اَنْ يَعْمَلُوْا لاَهْلِ الْمَيِّتِ فِىْ يَوْمِ يَمُوْتُ وَلَيْلَتِهِ طَعَامًا مَا يُشْبِعُهُمْ وَاِنَّ ذَلِكَ سُنَّةٌ.

“Aku suka kalau jiran si Mati atau saudara mara si Mati menyediakan makanan untuk keluarga si Mati pada hari kematian dan malamnya sehingga mengenyangkan mereka. Sesungguhnya itulah amalan yang sunnah”.

Fatwa Imam Syafie di atas ini adalah berdasarkan hadis sahih:

قَالَ عَبْدُ اللهِ بْنِ جَعْفَرَ : لَمَّا جَاءَ نَعْيُ جَعْفَرِ حِيْنَ قُتِلَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اِصْنَعُوْا لآلِ جَعْفَرِ طَعَامًا فَقَدْ اَتَاهُمْ مَايُشْغِلُهُمْ. (حسنه الترمزى وصححه الحاكم)

“Abdullah bin Ja’far berkata: Ketika tersebar tentang berita terbunuhnya Ja’far, Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Hendaklah kamu menyediakan makanan untuk keluarga Ja’far, mereka telah ditimpa keadaan yang menyebukkan (kesusahan)”. Dihasankan oleh at-Turmizi dan di sahihkan oleh al-Hakim.

Uthman El-Muhammady semestinya menerima kenyataan bahawa masyarakat Islam di Nusantara melakukan sebaliknya. Mereka menolak fatwa-fatwa Imam Syafie yang mengharamkan yasinan, tahlilan, makan kenduri di rumah si Mati dan membaca al-Quran untuk orang yang telah meninggal dunia.

Masyarakat diberi keyakinan yang keliru oleh orang-orang seperti Uthman El-Muhammady dan konco-konconya yang dianggap sebagai ulama as-Syafieyah oleh masyarakat Islam. Akibatnya masyarakat di Malaysia (kecuali di Perlis) apabila ada kematian terpaksa menghadapi dua jenis kesusahan, iaitu kesusahan kerana kematian dan seterusnya kesusahan untuk menyiapkan juadah penyumbat mulut, pengisi perut dan salam kaut untuk si Penghidup bid’ah. Keluargi si Mati terpaksa juga menyediakan dua jenis upah, upah untuk si Mati dan upah untuk si Ahli Bid’ah. Itulah yang dinamakan kenduri arwah yang menyebabkan orang-orang yang mempertahankannya seperti tidak mempunyai maruah.

Malangnya orang-orang yang menyeru agar meninggalkan amalan yang dibid’ahkan oleh Imam as-Syafie ini dianggap sebagai pemecah-belah, anti sunnah, keterlaluan dan pendakwah Wahhabi.

Persoalannya, apakah kenyataan Uthman El-Muhammady bahawa Wahhabi menentang sunnah as-Syafieyah itu benar? Sebaliknya yang benar ternyata terbalik, Uthman El-Muhammadylah yang sebenarnya memerangi sunnah as-Syafieyah, sebaliknya yang diistilahkan sebagai orang-orang Wahhabilah yang bersangatan mempertahankan sunnah dan mazhab as-Syafieyah.