Monday, March 31, 2008

01 - Uthman El-Muhammady Menghina Imam As-Syafie & Para Ulama Besar Syafieyah, Bukan Fahaman Wahhabi

Uthman El-Muhammady Menghina Imam As-Syafie & Para Ulama Besar Syafieyah, Bukan Fahaman Wahhabi

Uthman El-Muhammady keterlaluan sangat mempertahankan dan membela yasinan, tahlilan dan termasuk membaca al-Quran untuk orang yang meninggal dunia (kenduri arwah mengirim pahala untuk si Mati). Amalan tersebut diistilahkan oleh beliau sebagai “Amalan Ahli Sunnah Wal-Jamaah mengikut Imam al-Syafie” kerana dinasabkan kepada mazhab Syafie. Kenyataan ini tidak dapat dinafikan setelah terpampang di muka depan akhbar Mingguan keluaran Ahad 27 November 2005.

Kenyataan Uthman El-Muhammady, sebenarnya bukan memerangi Wahhabi kerana besar kemugkinan beliau belum tahu apa itu Wahhabiyah dan siapa Wahhabi, tetapi sebenarnya sama ada disedari atau tidak dengan kenyataan tersebut beliau telah menghina dan menolak fatwa-fatwa Imam Syafie rahimahullah. Mungkin juga beliau tidak menyedari fatwa Imam Syafie berkenaan isu ini. Malangnya, oleh kerana beliau tidak teliti dalam kenyataannya, tidak secara langsung dia juga telah menipu umat Islam.

Jika Uthman El-Muhammady mahu menyelidiki kitab-kitab besar para ulama ulung as-Syafieyah, pasti dia akan temui terlalu banyak fatwa-fatwa Imam as-Syafie dan para ulama besar Syafeiyah mengharamkan dan membid’ahkan amalan yang dikenali oleh masyarakat sebagai tahlilan, yasinan dan mengirim pahala bacaan al-Quran kepada si Mati yang diistilahkan sebagai kenduri arwah, yasinan dan tahlilan pada hari kematian, dihari kedua, ketiga, ketujuh, keempat puluh, keseratus, kesetahun dan yang lebih dari itu.

Ramai yang mengatakan bahawa isu ini adalah persoalan basi yang telah selesai. Ini tidak benar kerana masih ramai yang meneruskan amalan tradisi yang bid’ah ini, sama ada dihari kematian, malam Jumaat atau sebagainya. Yang sebenarnya isu ini bukan isu basi, kerana persoalan agama tidak boleh basi sehinggalah kehari kiamat, agama juga tidak boleh diqias dengan makanan yang dimakan di majlis kenduri apabila tak habis dimakan jadi basi, tetapi isu ini sentiasa hangat sebagaimana hangatnya hidangan di majlis kenduri arwah tersebut. Selagi ramai para aktivis bid’ah bermati-matian mempertahankannya, maka selagi itulah isu ini tidak akan basi. Malah ia akan jadi isu yang lebih sensasi.